Sebenarnya, saya pernah menulis tentang jenis-jenis plastik pada tahun lepas. Jenis-jenis plastik yang diguna meluas di Malaysia. Dan kebanyakan rakyat Malaysia masih tidak menyedari akan bahaya sesetengah bahan kimia yang terkandung dalam plastik itu sendiri.
Pernah satu ketika di pejabat, saya ditegur rakan sekerja kerana memanaskan lauk (mikrowave) menggunakan bekas plastik. Mereka memberi amaran pada saya, bekas plastik sangat tak elok untuk kesihatan diri. Saya terangkan pada mereka, bekas plastik yang saya gunakan adalah bebas BPA. Malah, bekas plastik yang berkod 5-PP adalah selamat untuk digunakan. Tapi mereka menidakkan kata-kata saya. Jadi saya tanyakan pada mereka, bekas apa yang selamat selain kaca dan porselin? Mereka mengesyorkan bekas plastik dari jenama Tupperware. Saya mengeluh sendiri. Rakyat Malaysia, banyak-banyaklah membaca. Apa salahnya menambah sikit pengetahuan yang tak seberapa kan? Saya tak nak cerita panjang. Tapi saya senaraikan jenis-jenis plastik yang ada di Malaysia. Buatlah perbandingan untuk kebaikan bukan hanya diri sendiri tetapi untuk bumi juga.
Jika botol plastik tertera 1-PET
- atau Polyethylene Terephthalate, biasanya terdapat pada bahagian bawah botol. Tertera bentuk 3 segi. Ditengahnya terdapat nombor 1 dan dibawah bentuk 3 segi tersebut tertulis PET atau PETE. Botol jenis ini biasa digunapakai sebagai botol minuman air mineral, air karbonat, jus buah dan seangkatan dengannya. Digalakkan penggunaan hanya sekali. Kesan penggunaan kerap (jika dikitar semula menjadi botol penyimpan air masak di rumah) akan mengakibatkan pengikisan lapisan polimer dari dinding dalam botol lalu mengeluarkan bahan kimia karsinogenik. Haba menggalakkan lagi penghasilan karsinogenik yang mana ia akan bercampuran dengan air yang disimpan. Meminum air yang bercampuran karsinogenik ini secara berterusan akan mengakibatkan kanser, khususnya kanser payudara.
Jika botol plastik tertera 2-HDPE
- atau High Density Polyethylene, biasanya terdapat pada bahagian bawah botol. Tertera bentuk 3 segi. Ditengahnya terdapat nombor 2 dan dibawah bentuk 3 segi tersebut tertulis HDPE. Digunapakai sebagai botol susu, bekas plastik jenama Tupperware dan lain-lain. HDPE menjadi pilihan kerana ia berkemampuan dalam mencegah tindakbalas kimia antara plastik dan makanan atau minuman. Sifat bahan HDPE ini adalah kukuh, berkabut dan tahan dengan suhu tinggi. Walaubagaimanapun, tidak digalakkan penggunaan lebih dari sekali kerana tindakbalas antimoni trioksida akan meningkat setiap masa.
Jika botol plastik tertera 3-V
- Polyvinyl Chloride biasanya tertera bentuk 3 segi. Di tengahnya terdapat nombor 3 dan dibawah bentuk 3 segi tersebut tertulis V (PVC). Digunapakai sebagai plastik pembungkus (cling wrap) dan botol-botol.. PVC mengandungi DEHA yang bertindakbalas dengan makanan. Makanan yang diserap bahan DEHA akan memberi bahaya kepada ginjal, hati dan berat badan.
Jika botol plastik tertera 4-LDPE
- atau Low Density Polyethylene biasanya terdapat pada bahagian bawah botol. Tertera bentuk 3 segi. Di tengahnya terdapat nombor 4 serta tertulis LDPE iaitu plastik berwarna (thermoplastic). Digunapakai untuk makanan, plastik dan botol-botol. Sifatnya kukuh, tembus cahaya, fleksibel dan berlemak. Tahan dengan tindakbalas kimia (jika suhu dibawah 60 darjah celcius), tahan wap air tetapi tidak baik untuk oksigen. Sukar untuk diuraikan tetapi baik sebagai penyimpanan makanan.
Jika botol plastik tertera 5-PP
- atau Polypropylene biasanya terdapat pada bahagian bawah botol. Tertera bentuk 3 segi. Di tengahnya terdapat nombor 5 serta tulisan PP. Bahan plastik ini adalah yang terbaik. Sifatnya jernih berkabut, kukuh dan ringan dengan tindakbalas wap, tahan terhadap lemak dan stabil dengan suhu tinggi. Pilihan bahan plastik paling baik. Digalakkan memilih bekas plastik berkod 5 sebagai medium menyimpan makanan, minuman dan botol susu bayi.
Jika botol plastik tertera 6-PS
- atau Polystyrene biasanya tertera bentuk 3 segi. Di tengahnya terdapat nombor 6 serta tulisan PS. Biasa digunapakai sebagai medium membungkus makanan atau bekas makanan pakai buang. Antara bahan paling merbahaya untuk badan kita. Wajib dihindari. Akibat penggunaan adalah kerosakan otak, gangguan hormon estrogen bagi perempuan (mandul), kerencatan pertumbuhan dan rosak sistem saraf. Sangat sukar diurai. Musuh utama bumi.
Jika botol plastik tertera 7-OTHER
- Biasanya tertera bentuk 3 segi. Di tengahnya terdapat nombor 7 serta tulisan OTHER. Merupakan gabungan bahan SAN (styrene acrylonitrile), ABS (acrylonitrile butadiene styrene) dan PC (polycarbona, nylon). Digunapakai sebagai alatan rumah, alatan elektronik dan sebagai bahan plastik kemasan. Hanya sesuai sebagai penggunaan luaran sahaja.
Jika botol plastik tertera PC
- Musuh utama ibu-ibu bila ia terkandung di dalam botol susu bayi. Bahan PC sentiasa menyebarkan bahan utamanya iaitu Bisphenol A (BPA) ke dalam makanan dan minuman. Mengakibatkan mandul dan mengubah sistem imun. Elakkan langsung botol berkod PC.
Pilihan di tangan kita, kan?
Hasil penulisan : Guest Blogger Mommy Fara